Assalamu'alaikumwarahmatullahiwabarakatuh...
Allahumma sholli 'ala muhammad....
Soalan : Siapakah golongan al-Asya'irah dan benarkah dakwaan yang mengatakan mereka tidak termasuk dalam golongan Ahli Sunnah wal-Jamaah?
Jawapan :
Golongan al-Asya'irah dan al-Maturidiyyah adalah golongan Ahli Sunnah wal-Jamaah. Adalah sangat jauh daripada kebenran dakwaan yang mengatakan mereka terkeluar daripada Ahli Sunnah wal-Jamaah.
Al-Asya'irah merujuk kepada pengikut Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari dan al-Maturidiyyah pula merujuk kepada pengikut Imam Abu Mansur al-Maturidi rahimahullah.
Al- Quran dan hadis membawakan busyra (berita gembira) kepada golongan al-Asya'irah.
Berita Gembira Daripada Al-Quran
Al-Hakim meriwayatkan dalam al-Mustadrak dan al-Hafidz Ibn 'Asakir dalam Tabyin Kazib al-Muftari ketika turun ayat :
Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.
(Surah al-Ma'idah: 54)
Ketika itu Rasulullah saw mengisyaratkan kepada sahabat Baginda saw, Sayidina Abu Musa al-Asy'ari dan bersabda :
"Mereka adalah kaum orang ini ( Abu Musa al-Asy'ari)."
Al-Imam al-Qurtubhi dalam tafsirnya, ms.220, menjelaskan: "Al-Qusyairi berkata: Pengikut Abu al-Hasan al-Asy'ari (dipanggil al-Asya'irah) adalah termasuk kaumnya."
Al-Imam Abu Hasan al-Asy'ari, imam yang menjadi ikutan golongan Ahli Sunnah wal-Jamaah aliran al-Asya'irah, adalah daripada keturunan Abu Musa al-Asy'ari, Sahabat Nabi saw yang disebutkan.
Berita Gembira Daripada Hadis
Penganut aqidah Ahli Sunnah wal-Jamaah aliran al-Asya'irah ini telah mendapat pujian daripada Rasulullah saw seperti dalam hadis:
"Akan dibukakan Kota Konstantinopel, maka sebaik-baik ketua perang adalah ketua perang (yang mengetuainya) dan sebaik-baik tentera adalah adalah tentera itu (yang membukanya)."
(Riwayat Imam Ahmad dan al-Hakim dengan sanad yang sahih)
Kota Konstantinopel (Istanbul sekarang) telah dibuka selepas 800 tahun dan yang membukanya adalah Sultan Muhammad al-Fateh. Beliau beraqidah Sunni aliran Imam Al-Asy'ari. Beliau juga menyukai kesufian yang benar di samping bertawassul dengan Nabi saw. Mustahil Rasulullah saw memuji seseorang yang aqidahnya tidak betul atau sesat.
Demikian juga Imam al-Bukari menyebutkan dalam Sahihnya, bab "Qudum al-Asy'ariyyin wa Ahl al-Yaman" (bab " Kedatangan kaum Asy'ari dan penduduk Yaman"), Abu Musa al-Asy'ari berkata, daripada Rasulullah saw, Baginda saw bersabda:
"Mereka daripada aku dan aku daripada mereka"
InsyaAllah bakal bersambung... doakan supaya Allah memberikan taufiq dan hidayah-NYA kepada saya.
Wallahua'lam.
Sumber Rujukan: Khilafiah Persoalan dan Penjelasan, Muhadir bin Haji Joll.