Assalamu'alaikumwarahmatullah...
Hari ini bersamaan 23 Ramadhon ataupun 1 ogos.
Kini aku mengimbau peristiwa yang berlaku 12 Ramadhon bersamaan dengan 1 ogos 2012...
29/8/2012:
Pada tarikh ini, aku perlu pulang ke tempat pengajianku di Melaka. Seperti sedia kala, abang aku akan menghatar aku ke stesen bas di Shah Alam. Abang aku ditemani kakak ipar aku dan 2 orang anak saudara aku iaitu Adam dan Mukhriz. Namun kali ini, Ammar iaitu anak abang aku yang sulong tak ikut serta dan tinggal dengan pengasuhnya yang tinggal di kawasan kejiranan tersebut.
Sebelum bergerak ke stesen bas tersebut,abang aku menghantar anaknya yang sulong itu ke rumah pengasuhnya. Aku mengambil kesempatan itu utuk bersalaman dan menciumnya.
1/8/2012:
Aku sedang bersiap-siap untuk ke kelas pada 10.30 pagi. hari tu adalah hari rabu. jadi dalam pukul 10.30 aku dapat satu panggilan daripada kakak aku.
Bila aku menjawab panggilan itu, terdengar satu suar tangisan yang teresak-esak melalui telefon...aku kebingungan...hati aku berdegup kencang memikirkan apa yang telah berlaku. Lalu, kakak aku memberitahu bahawa anak saudara aku masuk wad. Dalam hati aku masih ok lagi waktu tu...ok masuk wad mungkin sebab kes biasa. tapi setelah diberitahu bahawa anak saudara aku sedang nazak...langkah aku terus tersentak.
Apabila diberitahu peluang untuk hidup tipis, air mataku mula mengalir perlahan lalu kuseka air mataku dan berlari menuju ke kelas. Air mata ku yang mengalir deras tak dapat ku tahan lagi sambil mengenangkan tentang anak saudaraku yang baru ku jumpa beberapa hari lepas yang masih dalam keadaan sihat.
Ajal tak mengira muda atau tua, kaya atau miskin. Apabila tiba saatnya malaikat Izarail pasti datang menjemput. Setiba aku di kelas, aku memanggil seorang rakan sebilik aku, Khairin lalu ku ceritakan apa yang berlaku. Kemudian, aku memberitahu pensyarahku bahawa aku perlu pulang atas urusan kecemasan.
Setelah diberi kebenaran pulang, kaki aku pantas berjalan dan kemudian diikuti dengan larian. Setibanya aku di kolej, aku mengemaskan dan memasukkan barang aku ke dalam beg. Kemudian aku cuba menghubungi kereta yang menjalankan perkhidmatan menghantar orang ke tempat-tempat tertentu namun gagal, lalu aku bergegas berjalan keluar dari kawasn tempat pengajian aku.
Setibanya aku di luar pintu pagar, aku terus menaiki sebuah teksi ke Stesen bas Alor Gajah. Di saat aku sedang mencari tiket bas untuk ke Shah Alam, aku mendapat satu panggilan lagi dari kakak aku. Kali ini, tangisan dan esakan tersebut makin kuat kedengaran. Hatiku mula berdegup kencang. Kali ini berita yang aku terima, " Ammar dah meninggal."
Tanpa berfikir panjang, aku terus mengambil sebuah lagi teksi untuk ke Melaka Central. Setibanya aku di Melaka Central tapi aku masih gagal mendapatkan tiket ke Shah Alam secepat mungkin. Lalu aku tekad untuk mengambil sebuah teksi untuk terus ke rumah abang aku.
Perjalanan ke sana mengambil masa dalam 1 jam 30 minit untuk ke sana. Arwah bakal dikebumikan selepas solat zohor dan Alhamdulillah aku sempat sampai si sana sebelum arwah dikebumikan. Tambang teksi ku bayar lalu terus mengatur langkah menuju ke rumah abang aku.
Setelah aku masuk ke dalam rumah itu, apa yang dapat aku lihat orang ramai yang sedang bersedih dengan pemergian arwah. Kemudian, mata aku terarah ke arah bawah yang menempatkan arwah anak saudara aku yang terbujur kaku di atas tilam.
Bayangkan apa perasaan aku pada masa itu... hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Bayangkan, dengan anak saudara inilah aku selalu bergurau dan bergelak ketawa, tapi kini...hanya terbujur kaku, mata terpejam dan seluruh badan dibalut kain kafan.
Aku hanya sempat memeluk dan mencium arwah untuk seketika sebelum arwah diangkat untuk bergerak ke masjid untuk disolatkan. Seusai solat jenazah, arwah dibawa ke kubur bagi tujuan pengebumian. Jenazah arwah diturunkan perlahan-lahan ke dalam liang lahad... Di situ, air mataku tak berhenti-henti mengalir deras. Namun, masih bisa kutahan sesekali air ditemani air mata yang sayu. Saat yang menyetuh hati adalah apabila liang lahad tersebut perlahan-lahan di tutupi dengan tanah...Kini bayangan arwah semakin hilang... Bayangnya semakin samar..sedikit...demi...sediki
Rupa-rupanya, salaman dan ciuman aku kepada arwah merupakan salaman dan ciuman terakhir semasa arwah hidup.
Kini, tidak lagi kedengaran gelak tawa insan yang bernama Ammar Hakim bin Azahari. Pemergiannya dan kepulangannya ke rahmatullah udah menginjak usia 1 tahun. Apa yang tinggal sekarang hanyalah kenangan yang akan terus terpahat... insyaAllah.
Semoga roh arwah akan dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan orang yang beriman. InsyaAllah...
Buat abang dan kakak ipar aku, semoga tetap tabah dalam menghadapi ujian ini. Mungkin dengan pemergian arwah, Allah ingin memudahkan perjalanan kalian untuk menuju ke syurga-NYA. Wallahua'lam.